Isnin, 22 Ogos 2011

Dimana Dia diHatiMu

Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.

Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."

Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.

Ketika di ambang maut?

Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?"

Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."

Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati baginda.

Ketika tiada siapa mengetahui?

Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"

"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."

"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.

"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.

Saidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan yang tinggi di sisiALLAH. Jelas ada DIA di hatinya.

Ketika kamu tiada jawatan?

Satu ketika yang lain, Saidina Khalid Al-Walid diturunkan pangkatnya daripada seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh Khalifah Umar. Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas sedikit pun perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat.

Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid menjawab, "Aku berjuang bukan kerana Umar." Ya, Saidina Khalid berjuang kerana ALLAH. Ada DIA di hatinya.

Lalu, di mana Dia dihati kita?

Melihat anekdot-anekdot itu, aku terkesima lalu bertanya kepada diri, di manakah DIA dalam hatiku?

Apakah ALLAH sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk serta membujuk hatiku yang rawan?

ALLAH ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta ALLAH bersemi. Jika cinta ALLAH yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya, cinta selain-NYA yang ada di situ, maka cinta ALLAH akan terpinggir. Ketika itu, tiada DIA di hatiku!

Sering diri ini berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidupku, kata mereka (dan aku amat yakin dengan kata itu);

"Bila ALLAH ada di hatimu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki."

Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah ALLAH menjadi tumpuan dalam hidupku?

Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-NYA?

Bila bertembung antara kehendak-NYA dengan kehendakku, kehendak siapa yang aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerana-NYA? Tegakah aku membenci juga kerana-NYA?

Muhasabah ini melebar lagi. Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam-MU?

Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?

Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai-MU, ya ALLAH.

Dan aku juga tidak dapat mendustai diri sendiri

Aku teringat bagaimana suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, "Apakah engkau takutkan ALLAH?"

Dia menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak..."

Maksudnya, jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan ALLAH pun sukar bila ditanyakan apakah ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagilah aku yang hina dan berdosa ini.

Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.

Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"

Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."

Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.

Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.

Dan kita akan terus mengemis kasih...

"Duhai lelaki"

‎~* WAHAI LELAKI.. *~



Jika benar kau kasih & cintakan wanita itu:

•.♥• Bawalah dia ke jalan Allah
•.♥• Nasihatilah dia
•.♥• Perbetulkan kesilapannya
•.♥• Jagalah dia dgn baik
•.♥• Kasihanilah dia
•.♥• Lindungilah dia
•.♥• Berilah kasih syg padanya
•.♥• Hargailah dia
•.♥• Ucapkan terima kasih atas kelebihannya
•.♥• Bersabar dengannya
•.♥• Terimalah & cintailah kekurangannya
•.♥• Jadi IMAM terbaik & redhalah padanya


✿..moga dia menunggumu di SYURGA sebagai bidadarimu..amiin..✿

"wahai wanita"

~* WAHAI WANITA.. *~
Jika benar kau kasih & cintakan lelaki itu :

•.♥•Jagalah diri kamu sebaik yang mungkin. jangan biarkan diri kamu hanya menjadi hamba kepada kaum adam. memang betul hawa adelah pelengkap adam, tapi ianya hanya akan menjadi pelengkap apabila termatrinya ijab dan kabul.

•.♥•Peliharalah diri dan hati kamu. seperti mana yang sudah ditetapkan. yang pasti, dan janji ALLAH. DIA sudah sediakan yang terbaik untuk kita. jangan pena mencurigai ape yang telah ALLAH janjikan untuk kita

Kehebatan Syurga Berdasarkan Al-Quran

Allah menciptakan perkara-perkara yang luar biasa indah dan nikmatnya kepada orang-orang yang bertakwa sehingga menurut Nabi Muhammad s.a.w. di syurga itu terdapat apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga serta tidak pernah pula terlintas di hati manusia.

Berikut adalah beberapa ayat Al-Quran tentang kehebatan syurga Allah SWT yang sempat saya kumpul :

"Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman); mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka." (Surah Ar-Ra'd; 35)

"Kedua syurga itu mempunyai pohon-pohonan dan buah-buahan." (Surah Ar-Rahman; 48)

"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang mengalir." (Surah Ar-Rahman; 50)

"Di dalam kedua syurga itu terdapat segala macam buah-buahan yang berpasangan." (Surah Ar-Rahman; 52)

"Mereka bertelekan di atas permadani yang sebelah dalamnya dari sutera. Dan buah-buahan di kedua syurga itu dapat (dipetik) dari dekat." (Surah Ar-Rahman; 54)

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin." (Surah Ar-Rahman; 56)

"Di dalam kedua syurga itu ada dua buah mata air yang memancar." (Surah Ar-Rahman; 66)

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik." (Surah Ar-Rahman; 70)

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, bagi mereka syurga-syurga yang penuh kenikmatan..." (Surah Luqman, 8)

"Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah "salam"" (Surah Ibrahim; 23)

"Mereka tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezeki di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang." (Surah Maryam; 62)

"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid; 21)

"Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta." (Surah Yasin; 57)

"(Bagi mereka) syurga 'Adn mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas, dan dengan mutiara, dan pakaian mereka didalamnya adalah sutera." (Surah Fathir; 33)

"....Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman." (Surah Al-Furqan; 76)

Ya Allah, anugerahkanlah kepada kami syurga-Mu dengan rahmat dan kasih sayang-Mu. Jadikanlah kami hamba-Mu yang beriman dan bertaqwa. Kami teringin menemui-Mu di syurga. Ampunkahlah dosa-dosa kami.

Cara Rasulullah S.A.W Menjalinkan Persahabatan

Kita sering diingatkan supaya berhati-hati dalam memilih kawan. Rakan yang baik akan membawa kebaikan, sebaliknya yang jahat membawa kemudaratan. Persahabatan Nabi Muhammad S.A.W dengan Saidina Abu Bakar adalah ikatan persaudaraan yang perlu dicontohi umat Islam. Mereka sama-sama terbabit dalam perniagaan sehingga menjadi sahabat karib. Kedua-duanya mempunyai akhlak mulia, sama haluan dalam perjuangan sehingga terjalin kasih sayang dan kemesraan.

Persahabatan Rasulullah S.A.W dengan Abu Bakar adalah contoh terbaik umat akhir zaman dalam memperjuangkan agama. Ia sewajarnya dijadikan panduan bagi umat Islam memilih kawan yang baik. Keutamaan Abu Bakar di mata Rasulullah dijelmakan menerusi sabda Baginda bermaksud: "Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan umat sekaliannya, nescaya akan berat lagi keimanan Abu Bakar." [Hadis riwayat al-Baihaqi]

Rasulullah S.A.W juga meluahkan isi hatinya kepada Abu Bakar seperti dinaqalkan dalam buku susunan Syed Ahmad Semait, Sepuluh Yang Dijaminkan Masuk Syurga, katanya: "Semoga Allah merahmatimu! Engkau adalah sahabatku! Engkau telah membenarkanku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah membantuku ketika orang lain membiarkanku, engkau telah beriman kepadaku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah mententeramkan hatiku ketika hatiku sedang dalam keadaan keluh kesah. Sesungguhnya tiada siapa pun, biar apa pun sekali yang dilakukannya buat diriku yang dapat menyamai apa yang dibuat olehmu."

Allah S.W.T memilih Abu Bakar sebagai teman karib Rasulullah S.A.W dalam mendokong usaha dakwah amat bertepatan sekali. Mencari kawan yang baik dan mampu membimbing ke arah kebaikan. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu diumpamakan seperti pembawa kasturi dan peniup api, maka si pembawa kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya yang busuk." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]


1) Hindari daripada berkawan dengan yang buruk perangai dan akhlaknya

Rasulullah S.A.W juga telah menggariskan beberapa perkara bagi memilih teman atau kawan yang baik, antaranya : Hendaklah bersahabat dengan orang yang bertakwa dan beriman Sabda Baginda bermaksud: "Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa." [Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi]

Ibn Asakir menceritakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Jauhilah kawan yang buruk (akhlak dan perangainya), kamu akan dikenali sepertinya." Sabda Baginda lagi : "Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya." [Hadis riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud]

2) Menegur kesilapan kawan di atas perkara yang benar

Ubaidah Ibn As-Samit berkata: "Rasulullah S.A.W mengikat janji dengan kami supaya dengar dan patuh ketika susah dan senang, yang disukai dan dibenci dan jangan merebut sesuatu dari tuannya kecuali ada bukti kekufurannya. Begitu juga, kami hendaklah berkata benar di mana saja kami berada tanpa takut akan penghinaan daripada seseorang yang suka menghina, semata-mata kerana Allah." [Hadis riwayat Muslim]

3) Membantu kawan ketika kesempitan

Daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepas hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Begitulah antara saranan-saranan Rasulullah S.A.W kepada kita untuk memilih rakan yang benar-benar ikhlas dan baik untuk dijadikan teman. Sesungguhnya manusia sering lupa dan justeru itu punyai rakan yang baik serta sering mengingatkan kita kepada kebaikan dan mencegah kita daripada melakukan kemungkaran adalah merupaakan satu bonus untuk kita agar kita dapat menjadi insan yang benar-benar bertakwa.

cinta ALLAH


Cinta buta, cinta mati, cinta yang membawa maut dan bermacam-macam lagi cinta selalu dikenali di sekitar para remaja masa kini. Cinta memang wujud, tidak benar andai seseorang itu berkata dia tidak pernah jatuh cinta atau sedang bercinta. Berkemungkinan cinta mereka tidak berbalas dan oleh sebab itu seseorang berkelakuan tidak ingin bercinta dan ingin hidup seorang diri.

Tetapi, cuma satu sahaja manusia sering lupa. Cinta sesama insan tidak akan kekal lama. Ini kerana, kita ada Tuhan dan Tuhan kita adalah Allah. Allah berkuasa menarik apa sahaja yang Dia ciptakan termasuk orang yang kita sayang .

Oleh itu, renungkan dan ingatlah bahawa cinta pada manusia tidak kekal lama tetapi cinta pada Allah tidak akan pudar buat selam-lamanya.

terasa segan....

Terasa segan,
bila ditimpa masalah atau musibah,
terus mencari manusia untuk mengadu,
bukannya DIA.

Segannya bila ada ujian, mulut laju merungut,
bukannya cepat-cepat menenangkan diri dengan kalimah Allah.

Bila dititipkan harapan,
Lebih mengikut kata hati,
Lebih menyebelahi kata nafsu,
Hanya bila harapan itu pudar baru mencari DIA,
Malunya bila rasa dah belakangkan DIA.
Oh, terasa segan.

Segan bila hati lagi laju mencari cinta manusia
Dari mencari Ilahi,
Segan bila diri diperingatkan tapi masih begitu.

Segan dengan Dia yang Maha Melihat,
Segan dengan Dia yang Maha Mengerti,
Segan dengan Dia yang Maha Memahami.
Segan dengan Dia yang Maha Pengampun!

Segan dengan dosa yang dilakukan,
Terasa bersalah dengan Dia.
Sedangkan diri tahu, Dia sentiasa ada.
Diri tahu Dia tak pernah tinggalkan hamba-Nya walau sesaat.
Tapi kenapa diri masih tegar melakukan kesalahan?
Oh, sebab diri ditaraf hamba,
Hamba yang sering leka dengan dunia,
Memang sering melakukan kesilapan demi kesilapan.
Tapi bukankah sifat Mukmin, mereka takkan jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali?

Terasa bagaikan ada batu yang menghempap kepala. Sakit.
Ish, dah tahu rupanya begitu.
Tapi kenapa tidak mahu ambil pengajaran lagi?
Dan terasa segan.

Benar, diri bukanlah Maksum bagaikan baginda Rasulullah.
Diri adalah hamba, ditaraf hamba.
Yang di bawah dan yang terhina.
Tapi, kalau diri mengakui beriman
sudah tentu diri akan melakukan kebaikan.
Sudah tentu diri akan sentiasa membetulkan diri.
Sudah tentu diri akan selalu muhasabah diri.

Jadi,
Kalau terasa segan, bersyukurlah.
Hati dan perasaan tengah nak kembali pada yang Hak.
Jiwa masih lagi utuh untuk mengikat kata cinta pada Dia.
Allah sebenarnya tengah bagi peluang
Untuk diri bertaubat dan bertaubat lagi.
Gunakan kesempatan yang ada,
Kerana diri tidak tahu apakah ini nafas yang terakhir?

bila cinta berputik..... adakah dia jodohku?

"Tiada terfikir,

Terlintas Engkau akan tiba,

Membawa perangsang.

Tiada terfikir, Terlintas,

Engkaukan membuka,

Sempadan perasaan.

Bunga kembang bertali hati, Bunga kembang di puncak akli"

Begitu indah cinta, membawa perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Akan tetapi diluah melalui boneka jasad serta lirikan mata, lidah kelu diam seketika, jantung berdegup pantas tidak mencemaskan tetapi indah.

Remaja pada awalan usia mereka merasakan diri mereka ingin dicintai dan ingin mencintai. Akhirnya mencari cinta. Cinta pada usia muda yang sering digelar cinta monyet.

Tidak kurang pula ketika mereka melangkah ke menara gading. Mitos memaksa mereka mencari pasangan sebelum mendaki anak tangga pentas konvokesyen, kononnya, menara gading tempat mencari pasangan hidup yang akan hidup bersama mereka selepas graduasi.

Akan tetapi, alangkah sedihnya cinta yang berputik dan berbunga-bunga akhirnya tewas, melebur membentuk luka yang pedih dan sakit. Sesak nafasnya!

Lebih teruk kesannya jika apabila mereka sedar (meskipun tidak mengakui atau tidak menunjuk) bahawa perjalanan kisah cinta mereka telah pun melangkaui batasan agama, bersentuhan, berkucupan, berkhalwat dan terlanjur. Malu dan kesal serta sedih kerana diri telah menjadi tidak suci dan kotor, akan tetapi orang yang bersama-sama untuk berkongsi kotor dan jijik tidak lagi bersama. Risau pula jika perbuatan mereka dikhabarkan.

Yang nyata dan pasti, kamu tidak terlepas dari pandangan Allah dan Allah mengetahui perbuatan kemungkaran kamu. Taubatlah!

Jika kamu merasakan dia jodohmu, adakah dia mengajak kamu kepada kebaikan lebih banyak daripada membawa kamu kepada kemungkaran?

Oleh sebab itu, saya ingin mengajak para adik-adik untuk berfikir sejenak apakah niat kita bercinta dan di mana kita mahukan ia berakhir? Terutamanya adik-adik yang bakal bergelar graduan.

Ketika cinta kamu berputik pada si dia dan kamu sendiri mengakui di dalam hati kamu bahawa kamu ada rasa sayang pada dia, dan hati kamu punya rasa cinta padanya, renung seketika, di mana kamu ingin meletakkan cinta Allah yang jauh lebih hebat dari dia.

Jika cinta Allah lebih kamu sayang, letaklah cinta Allah sebagai batasan pergaulan kamu.

Apabila kisah cinta mula melorot dari satu episod ke satu episod yang lain. Renung kembali apa salahnya kamu pada Allah dan apa ajarannya telah kamu ikuti?

Pada ketika itu, fikirlah adakah pernikahan yang kamu cari atau hanya suka-suka? Jika suka-suka, tiada cinta yang berharga dari kamu dan untuk kamu. Jika pernikahan yang kamu cari, maka tidak usahlah buang masa lagi. Dekatilah pernikahan kerana kamu perlu mencari keredhaan Allah.

Bersama keredhaan Allah, langkah-langkah kamu menghampiri pernikahan sangat mudah jadinya. Kadang-kala di luar jangkaan kamu. Namun, jika dugaan yang datang, tabahkan hati tetapkan niat kamu untuk mencapai keimanan yang lebih baik melalui pernikahan.

Kerapkan menunaikan solat sunat tahajjud dan istiqarah. Mohonlah ditunjukan jalan dan memastikan dialah jodoh kamu. Jika tidak diilhamkan bahawa dia adalah jodoh kamu, terima qada Allah, teruskan kehidupan dan persahabatan, serta carilah pasangan yang bakal menjawab istiqarah sebagai jodoh kamu.

Jauhi dari hati yang makin berbunga dan berputik cinta walhal kita sebenarnya jauh dari jodoh. Itu hanya melukakan hati yang sangat lembut ini.

Cinta sesama manusia tentu tidak setanding dengan cinta dari Allah S.W.T, tetapi, kerana cintakan Allah, kita mencintai manusia juga.

Cinta berputik biar bertapis. Agar diberkati dan diredhai Allah S.W.T.

adakah kita bertemu dengan orang yang salah??

Terkadang kita terfikir :

Adakah kita bertemu dengan orang yang salah?

Teman sekerja yang tak 'ngam'?

Kawan - kawan sekolah atau universiti yang tidak boleh nak buat geng study?

Housemate yang menyakitkan hati (sebab tak pandai membasuh pinggan, bercakap menggunakan kata-kata yang pedas, dan sebagainya) ?

Ataupun kekasih yang tiba-tiba dirasakan tak serasi?

(atau mungkin juga adik beradik, keluarga yang kita tidak boleh fahami perangai mereka?)

Kerana hakikatnya, kita akan bertemu dengan ramainya manusia yang menjengkelkan hati kita, dan sangat sukar untuk kita bersama dengan mereka.

Pelbagai ragam dan karenah manusia yang dapat kita temui di dunia ini.

Kerana berlainannya manusia itu adalah untuk apa .....

Untuk lita'arafu..

Untuk berkenalan. Untuk mengetahui, memaknai manusia lain.

Untuk menyedari betapa beruntungnya kita, mahupun rendahnya kita berbanding manusia lain.

Untuk kita sering berlumba-lumba menggapai taqwa tanpa membeza-bezakan manusia lain.

Namun, tentu kita akan bertemu dengan manusia yang tidak serasi dengan kita serta berlainan segalanya.

Sehingga sekecil-kecil perbezaan kita menjadi besar dan dijadikan hujah untuk menjauhkan diri, apatah lagi terkadang sehingga memutuskan silaturrahim.

Walaupun diri kita dengan dia, satu aqidah, satu kefahaman dan satu cinta pada Allah..

Dan kita bertanya, mengapa diri kita dan dia, begitu jauh sekali?

Di situlah, kita kena sentiasa berusaha untuk mencari titik persamaan...

Kita takkan pernah bertemu dengan orang yang salah.

Takkan!

Kerana Allah telah menakdirkan setiap saat dan inci dalam kehidupan kita.

Setiap takdir itu merupakan satu ketetapan Allah buat kita, merupakan sesuatu yang terbaik buat kita.

Dan setiap manusia yang kita temui itu, tentu memberikan makna sesuatu pada kita.

Walaupun banyaknya kejengkelan hati kita pada dia.

Namun, tentu sebenarnya mereka yang 'salah' itu sendiri banyak mengajar kita: 'akan kekurangan diri kita sendiri.'

Bukankah seorang musuh itu terkadang lebih jujur daripada seorang sahabat sejati, yang dipetik dari kata-kata hikmah Arab.

Setiap jodoh dan pertemuan tentunya telah ditetapkan oleh Allah,

Untuk kita belajar sesuatu darinya.

Tak pernah kita bertemu dengan orang yang salah ... semua yang kita temui adalah stesen-stesen perhentian untuk mengutip hikmah, buat bekalan di dalam perjalanan.

Percayalah, kadang-kadang di awal pertemuan akan banyak berlaku perkelahian, salah faham dan ketidak seragaman.

Namun masa akan mengambil alih, memberi peluang makna kefahaman masuk ke dalam jiwa kita yang jernih.

Kerana kita pada hakikatnya, punya hati yang satu, matlamat yang satu, dan tentu cinta yang satu, hanya kepada Allah.

Ikatan hati manakah lagi yang paling kuat selain dari Allah?

Kerana itu, di setiap perselisihan, mahupun ke tidak serasian,

kembalilah semula kepada apa yang akan dapat menyatukan kita.

Itulah dia Allah.

Kerana dihitung perbezaan-bezaan, memang akan semakin menjadikan hati kita jauh.

Namun, those does not matter, sebab Allah sahaja yang membinakan hati kita Insya-Allah.

And He Knows best.

Wallahua'lam.

Bersabar, dan teruslah berdoa.

Allah itu pasti menetapkan sesuatu yang terbaik buat kita, jika kita benar-benar yakin akan Dia..